Penyerang Negeri Sembilan, Shahrel Fikri berpeluang diturunkan berdepan Papua New Guinea pada aksi persahabatan antarabangsa kedua di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Selasa ini.

Shahrel tidak beraksi ketika menentang Kepulauan Solomon rabu lepas kerana mengalami kecederaan namun beliau kini kelihatan sudah pulih apabila dilihat menyertai sesi latihan bersama rakan sepasukan semalam.

Ini merupakan peluang terbaik Shahrel memikat pengendali Harimau Malaya, Kim Pan Gon untuk disenaraikan dalam barisan pemain negara di Piala Asia 2023 tahun depan nanti.

Kim Pan Gon juga mengakui cukup lega jika Shahrel berjaya membuktikan kemampuannya sekaligus mempunyai banyak pilihan di posisi serangan selain Syafiq Ahmad dan Darren Lok.

“Kami mahu mencuba penyerang lain dari liga supaya ada banyak pilihan. Saya akan gembira kalau Shahrel boleh beraksi dengan baik kerana kami akan ada satu lagi senjata rahsia,” kata Kim Pan Gon.

Selain Shahrel Fikri, pemain tengah yang berpengkalan dari luar negara, Nooa Laine dijangka akan beraksi bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Natxo Insa.

“Kami akan melihat beberapa pemain yang boleh dipanggil, lagipun pemain tengah, Nooa Laine sudah kembali cergas dan berharap dia bersedia untuk menggalas tugas di jentera tengah berdepan Papua New Guinea,” katanya.

Nooa Laine

Mengulas mengenai aksi bertemu pasukan di ranking 159 dunia itu, Kim Pan Gon mahu ubah corak permainan Malaysia dengan memberi fokus kepada penguasaan pegangan bola.

“Selepas aksi menentang Kepulauan Solomon Rabu lalu, kami menilai semula keseluruhan persembahan pemain.

“Hasil analisis, terdapat kesilapan kecil iaitu kesalahan teknikal individu, jadi kami perlu perbaiki dan mengurangkan kesilapan itu, saya fikir jika mahu bermain dengan berkualiti, kami perlu atasinya, begitu juga dengan masalah membuat keputusan kerana mereka perlu mengawal permainan.

“Kami mahu ubah corak permainan bola sepak Malaysia dengan lebih banyak menguasai bola berbanding corak permainan lama, ketrampilan dan karakter mereka juga perlu diubah dengan memperagakan aksi berkualiti dan menakjubkan,” jelas Pan Gon.